KUALA LUMPUR: Fenomena mikrodrama yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna media digital membuka dimensi baharu kepada industri kreatif tempatan, khususnya menerusi penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan Generatif (AIGC) dalam penghasilan kandungan.

Format drama pendek yang mudah diakses menerusi telefon pintar dan platform digital seperti TikTok serta YouTube Shorts itu bukan sahaja menawarkan pendekatan baharu dalam penceritaan, malah berpotensi mengubah kaedah penerbitan kandungan dengan proses lebih pantas, fleksibel dan menjimatkan kos.

Menyedari perkembangan itu, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) mengambil inisiatif memperkukuh kemahiran tenaga kerja industri media menerusi penganjuran Bengkel Mikrodrama AI selama empat hari di Makmal Kreatif, Bangunan Ilmu, IPPTAR, baru-baru ini.