NIBONG TEBAL: Sebanyak 23 keluarga terjejas akibat banjir di beberapa kawasan di Sungai Kechil di sini, dengan sebahagian penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan MPKK Sungai Kechil, malam ini.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata antara kawasan terjejas ialah Sungai Duri, Kampung Sethu, Kampung Besar, Kampung Sungai Buaya, Sungai Kechil dan Jawi.

Fadhlina berkata, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, beliau terus ke PPS berkenaan untuk meninjau keadaan penduduk yang terjejas.

"Menerusi Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal, makanan turut disediakan bagi keluarga yang berlindung di PPS selain dihantar ke beberapa rumah mangsa yang terlibat," katanya menerusi hantaran di Facebook.