Ipoh: Seorang lelaki warga emas terselamat selepas kediamannya terjejas akibat kejadian tanah runtuh berserta limpahan air bukit di Jalan Bukit Merah, Kampung Bukit Merah, Simpang Empat Semanggol dekat Bagan Serai dekat Kerian, malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.05 malam, dan mengerakkan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai ke lokasi sejauh 21 kilometer.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan bumbung tambahan di bahagian belakang rumah itu runtuh, namun mangsa berjaya dibantu keluar oleh orang awam dan ditempatkan di sebuah kedai di hadapan rumah tersebut, sebelum pasukan penyelamat menjalankan pemeriksaan lanjut susulan keadaan cuaca tidak menentu.