COPENHAGEN: Polis Denmark melancarkan siasatan besar-besaran hari ini selepas sekumpulan perompak bertopeng menyerbu sebuah kedai menjual kad Pokemon di utara Copenhagen dan melarikan barangan koleksi bernilai lebih €130,000 (US$143,000 atau RM584,352).
Menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa), polis sedang memburu lima lelaki yang dipercayai mengancam seorang pekerja kedai menggunakan objek menyerupai pistol di sebuah pusat beli-belah di Lyngby, utara Copenhagen.
Perompak berkenaan kemudian memecahkan kabinet pameran dan mencuri kad Pokemon yang mendapat permintaan tinggi.
Mereka dilaporkan melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki sebuah kereta.








