Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dilaksanakan secara berperingkat di semua pintu masuk udara, darat dan laut negara. (Gambar Facebook)KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa membentangkan laporan kemajuan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada Parlimen setiap suku tahun bagi memastikan pelaksanaannya dipantau secara telus.

Awang Hashim (PN-Pendang) berkata pemantauan berkala itu penting kerana NIISe bukan sekadar projek pembangunan sistem imigresen, sebaliknya turut membabitkan keselamatan negara.

Beliau mahu laporan berkenaan merangkumi status keselamatan sistem, pencapaian pelaksanaan serta perbelanjaan projek.

"KDN (perlu) membentangkan laporan kemajuan NIISe setiap suku tahun kepada Parlimen termasuk status keselamatan sistem, pencapaian pelaksanaan dan perbelanjaan projek kerana ini melibatkan keselamatan negara," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KDN di Dewan Rakyat.