LISBON: Ducati melakukan perubahan barisan apabila menyaksikan Iker Lecuona dipilih menggantikan Francesco Bagnaia yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan patah kaki menjelang Grand Prix (GP) Portugal hujung minggu ini.

Pasukan MotoGP itu mengesahkan pelumba Sepanyol berusia 26 tahun berkenaan akan mengisi kekosongan ditinggalkan Bagnaia yang mengalami kecederaan ketika perlumbaan pecut GP Qatar, 7 November lalu.

Bagnaia terbabit dalam kemalangan selepas pelumba Gresini Racing, Fermin Aldeguer gagal membrek tepat pada masanya sebelum merempuh bahagian belakang motosikalnya.

Insiden itu menyebabkan pelumba Itali berkenaan tercampak ke udara sebelum disahkan mengalami patah kaki dan terpaksa menjalani pembedahan.