Mahkamah Sesyen Kuantan memenjarakan lelaki yang tular memijak al-Quran selama 12 bulan dan mendenda RM250,000 selepas dia mengaku bersalah.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular selepas memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial, dipenjara 12 bulan dan didenda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang kerana mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial, Februari lepas.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu semalam selepas S.Vikneswaran, 21, yang juga bekas pelajar sebuah universiti mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh jatuh hukum (12 Nov) dan mengarahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.