EMPAT tahun dalam industri seni, bakat lakonan Erysha Emyra, 27, boleh dikatakan cepat menyerlah, apatah lagi kebanyakan jalan cerita projek drama diterimanya berjaya memberi impak.
Bermula dengan drama pertama, Perempuan Itu pada 2022 sebagai watak Wardah, lakonan Erysha berjaya meninggalkan kesan dan hingga kini masih diingati penonton.
Terbaharu, Erysha yang juga anak kepada pelakon senior, Datin Seri Noniswara Baharuddin, 56, ini muncul membintangi drama Bayangan Dendam arahan Helmi Yusof yang disiarkan di platform Viu.
Membawa watak sebagai Ariana, karya ini mengisahkan cinta tiga segi yang berakhir tragedi serta pengkhianatan dalam persahabatan, sekali gus mengheret kepada pelbagai konflik hubungan.






