PETALING JAYA: Mengakhiri kemarau kemenangan selama 46 tahun menjadi agenda utama skuad kebangsaan dalam pertembungan menentang China di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, malam ini.
Dalam aksi persahabatan Tier 1 itu, pengendali interim, Tan Cheng Hoe perlu membariskan skuad terbaik bagi mengekang asakan lawan, biarpun turun tanpa beberapa tonggak utama yang tidak bersama pasukan.
Berdasarkan rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan China adalah pada 1980 menerusi kemenangan 3-1 dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur yang mana ketika itu skuad negara dibimbing Karl-Heinz Weigang.
Berada di kedudukan ke-96 dan beraksi di laman sendiri, China pastinya mempunyai 1001 kelebihan, namun itu bukan alasan untuk anak buah Cheng Hoe menyerah kalah dan mengangkat bendera putih terlalu awal.









