Bukan semua perkahwinan baik-baik sahaja. Ada yang diuji dengan masalah kecurangan, kewangan, malah turut berdepan campur tangan, salah faham dan penerimaan keluarga mentua.

Minggu ini, saya kongsikan kisah Rafidah (bukan nama sebenar) yang hampir 24 tahun usia perkahwinan belajar menerima pelbagai ujian daripada keluarga mentua.

Bukan sahaja ketika anak-anak masih kecil, tetapi memasuki alam dewasa.Bertahun-tahun wanita itu berusaha menjadi menantu baik, tetapi tetap disisih dan dianggap orang luar oleh keluarga mentua dan ipar-duai.

Kisah wanita itu diceritakan salah seorang anak yang melihat layanan diterima ibu selama bertahun-tahun . Menurut Aini (bukan nama sebenar) sebagai anak, mungkin dahulu ketika kecil, dia tidak begitu memahami derita yang dilalui ibunya. Ibu tetap tersenyum, menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.