DUA dekad mengabdikan diri dalam industri seni tanah air, penyanyi, Noh Salleh, 41, memberi penghargaan penuh terhadap perjalanan seninya menerusi konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra, baru-baru ini.

Konsert yang diadakan di Idea Live Arena, Petaling Jaya berjaya memukau ribuan penonton dengan gabungan elemen penceritaan mendalam, emosi dan susunan muzik orkestra dalam satu malam penuh amat istimewa.

Lebih menarik, konsert berkenaan dipersembahkan secara eksklusif dalam susunan muzik orkestra di bawah pimpinan komposer dan pengarah muzik prolifik negara, Aubrey Suwito.

Berkongsi perasaan teruja ketika membuka persembahan, Noh meluahkan rasa kesyukuran tidak terhingga kerana dapat merealisasikan impian besar sepanjang dua dekad berkecimpung dalam arena muzik tempatan.