NEW ORLEANS, Amerika Syarikat – Seramai 32 penumpang dikejarkan ke hospital selepas sebuah kapal persiaran sungai terbalik akibat dirempuh oleh sebuah kapal tangki yang dipercayai hilang kawalan di Sungai Mississippi semalam.
Insiden cemas yang berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari waktu tempatan berhampiran Pelabuhan New Orleans itu membabitkan kapal persiaran American Heritage kendalian syarikat American Cruise Lines dan kapal tangki Atlantic Asphalt.
Menurut Datuk Bandar New Orleans, Helena Moreno, kapal persiaran berkenaan yang membawa seramai 129 penumpang serta anak kapal telah berlabuh kira-kira dua jam lebih awal dan sedang dalam proses menurunkan penumpang sebelum dilanggar.
“Ketika para penumpang sedang turun, kapal persiaran tersebut mula dimasuki air selepas dirempuh, lalu senget dan akhirnya terbalik ke satu sisi sehingga menyebabkan beberapa individu terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu sidang media.









