Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata sebahagian tempahan peluru berpandu Atmaca untuk kapal misi pesisir akan digunakan bagi kapal tempur pesisir sebagai pengganti sistem peluru berpandu antikapal buatan Norway. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Kos tambahan penggunaan peluru berpandu antikapal Atmaca buatan Turki untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membabitkan kerja integrasi sistem dan penyediaan pelancar.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata kerajaan menempah peluru berpandu Atmaca untuk kapal misi pesisir (LMS) sebelum ini, yang membolehkan sebahagian tempahan itu digunakan bagi LCS menggantikan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) buatan Norway.

"Saya memang sudah tempah Atmaca untuk LMS. Jadi, sekarang saya hanya perlu ambil Atmaca itu dan letak di situ (LCS)," katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Panchor, Kota Tinggi.