Baru-baru ini tersebar berita mengenai murid sekolah yang dikatakan sesak nafas dan meninggal dunia. Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak berkenaan sebenarnya tercekik ketika sedang makan. Amat menyedihkan apabila tiada sesiapa menyedari apa yang sedang dilaluinya menyebabkan kanak-kanak ini tidak dapat diselamatkan.
Hakikatnya orang ramai tidak perlu menjadi doktor untuk menyelamatkan nyawa individu yang mengalami kecemasan akibat tercekik.
Dengan latihan yang betul, sesiapa sahaja boleh mempelajari kemahiran asas untuk mengenal pasti kecemasan, memberikan pertolongan cemas dan menghubungi talian 999 dengan segera.
Pakar dan Pensyarah Perubatan Kecemasan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Dr. Aireen Zamhot berkata, semakin ramai yang mempunyai kemahiran ini, semakin tinggi peluang mangsa mendapat bantuan awal yang boleh menyelamatkan nyawa.






