DUNGUN – Dua rakan sebaya didenda sebanyak RM6,800 oleh Mahkamah Majistret Dungun, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghapuskan barang kemas milik seorang warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian, awal November lalu.

Hukuman denda tersebut diperintahkan Majistret Ng Yan Ni terhadap kedua-dua tertuduh, Muhammad Faris Shafiq Nornazli dan Nabil Anaqi Mohd. Ayob masing-masing berusia 29 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Faris Shafiq didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi, iaitu seutas rantai emas milik seorang warga emas berusia 62 tahun.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.15 tengah hari di sebuah rumah di Felda Kerteh 3, di sini pada 5 November lalu.