AYER KEROH: Pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) termasuk kemungkinan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), dijangka dibuat dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, berkata perkara itu masih dalam pertimbangannya dan pengumuman akan dibuat sedikit masa lagi.

"Bila saya nak lantik nanti saya panggillah (media). Ia ibarat 'dekat tak sejengkal, panjang tak sedepa', tunggu sajalah," katanya selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua, hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan wakil rakyat PN turut dilantik sebagai EXCO Melaka sekiranya kerjasama BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.