Ayer Keroh: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) termasuk dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) akan dilantik dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu dalam pertimbangan beliau dan akan diumumkan sedikit masa lagi.

"Bila saya nak lantik nanti saya panggillah (media). Ia (tempoh) ibarat 'dekat tak sejengkal, panjang tak sedepa', tunggu sajalah," katanya selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan supaya wakil rakyat PN turut dilantik sebagai Ahli EXCO Melaka sekiranya kerjasama BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Melaka ke-16.