Kuala Lumpur: Setiap pihak berkepentingan terutama mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam negara, seharusnya bertindak lebih bijak dalam menangani isu membabitkan acara sukan yang dipertandingkan pada setiap edisi Sukan SEA dan bukannya sekadar mencari jalan untuk meraih populariti.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, isu yang ditimbulkan itu tidak sepatutnya diperbesarkan kerana ia bukan perkara baharu, sebaliknya sudah menjadi kelaziman bagi setiap tuan rumah dalam menentukan acara sukan yang dipertandingkan.

Malah, pemilihan acara bukan hanya dilakukan oleh tuan rumah secara bersendirian, sebaliknya hasil perbincangan bersama semua ahli Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebelum mendapat persetujuan majoriti untuk dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.