PUTRAJAYA – Penceramah selebriti, Da’i Syed dinasihatkan tidak menggunakan populariti untuk mengambil kesempatan terhadap individu yang berada dalam keadaan terdesak.

Nasihat itu diberikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azman Abdullah yang mempengerusikan panel tiga hakim selepas membacakan keputusan majoriti 2-1 yang melepas dan membebaskan Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, atas pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.

“Saya ada nasihat sikit untuk perayu (Syed Shah Iqmal), perbuatan mengambil kesempatan terhadap individu yang terganggu emosinya boleh mencemarkan nama baik golongan yang membawa imej agama.

“Nasihat saya ini bukan sahaja ditujukan kepada kamu, turut ditujukan kepada tenaga pengajar di institusi agama dan sekolah, setiap hari kami menerima banyak kes membabitkan rogol, liwat dan sebagainya yang berlaku di pondok-pondok sekolah oleh tenaga pengajar dan ia memberi imej yang buruk kepada masyarakat,” katanya.