PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang hakim Mahkamah Rayuan menasihati pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful supaya tidak menyalahgunakan popularitinya dengan mengambil kesempatan terhadap individu yang berada dalam keadaan terdesak.Hakim Datuk Azman Abdullah yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, perbuatan mengambil kesempatan terhadap individu yang terganggu emosinya boleh mencemarkan nama baik golongan yang membawa imej agama."Saya ingin memberikan sedikit nasihat kepada perayu. Nasihat saya ini bukan sahaja ditujukan kepada kamu, tetapi setiap hari kami menerima banyak kes melibatkan rogol, liwat dan sebagainya yang berlaku di pondok-pondok sekolah oleh tenaga pengajar … dan ia memberikan imej yang buruk kepada masyarakat," katanya.Syed Shah Iqmal, 31, yang berada di kandang tertuduh dilihat mengangguk mendengar nasihat hakim itu.Sebelum itu, Hakim Azman dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dalam keputusan majoriti 2-1 melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol seorang wanita pada 2019, manakala Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.Panel itu membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan akhir Syed Shah Iqmal terhadap sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.Selepas keputusan majoriti disampaikan oleh Hakim Azman, Syed Shah Iqmal yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menangis, manakala isterinya Hana Ismail yang berada di galeri awam juga menitiskan air mata.Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira 1.35 pagi 11 September 2019, mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian memerintahkannya membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.Hakim Azman dalam penghakimannya berkata terdapat kekhilafan yang serius dalam dapatan Mahkamah Tinggi dan Sesyen sebelum ini sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.Beliau berkata, tingkah laku mangsa, yang merupakan saksi pendakwaan pertama (SP1), tidak selari dengan kelakuan seseorang yang menjadi mangsa rogol tanpa kerelaan."Tiada rasa cemas, panik, trauma serta-merta atau reaksi kesedihan oleh mangsa di lokasi kejadian. Mangsa tidak cuba melarikan diri, sebaliknya bermalam di rumah perayu dan hanya pulang keesokan harinya. Setibanya di rumah, SP1 menghantar mesej 'Safely Arrived' kepada perayu menerusi WhatsApp dan Instagram, sebelum kedua-duanya terus berkomunikasi selama beb