KUALA NERUS – Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit (Pantai) di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini, yang terputus akibat hakisan pantai sejak awal tahun ini, akhirnya dibuka semula kepada pengguna jalan raya hari ini selepas kerja-kerja membaik pulih laluan tersebut siap sepenuhnya.

Pembukaan semula Laluan T145 sepanjang kira-kira 280 meter itu sekaligus memberi kelegaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya yang sebelum ini terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh untuk menjalankan urusan harian.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata kerja-kerja membaik pulih jalan berkenaan telah siap sepenuhnya selepas melalui beberapa proses teknikal bagi memastikan keselamatan pengguna.