PADANG BESAR – Dua pemandu kereta terselamat tanpa sebarang kecederaan, namun dua pelanggan sebuah kedai makan pula cedera selepas sebuah Proton Preve hilang kawalan lalu merempuh premis berkenaan berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, di sini malam tadi.
Dalam kejadian di Jalan Kangar-Padang Besar kira-kira pukul 7.15 malam itu, seorang wanita berusia 35 tahun dan lelaki berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, siasatan awal mendapati Proton Preve dipandu lelaki berusia 27 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Padang Besar menghala ke Beseri.









