KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King membuktikan kemampuan mereka sebagai beregu masa depan negara apabila merangkul gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun, sebentar tadi.

Beraksi di Gimnasium Kumamoto, beregu ranking ke-57 dunia itu mencipta kejutan apabila menumbangkan gandingan No. 1 Jepun dan ranking ke-10 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menerusi kemenangan 16-21, 21-13, 21-15 dalam pertarungan selama 55 minit.

Kemenangan berharga itu menyaksikan Aaron-Roy King mengulangi kejayaan menjuarai Terbuka Arctic bulan lalu, yang juga merupakan kejohanan kompetitif pertama mereka sejak digandingkan bersama.

Lebih manis, kejayaan itu turut menyaksikan Malaysia meneruskan aksi terbaik di Kumamoto Masters selepas kali terakhir dimenangi menerusi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pada edisi tahun lalu.