HULU SELANGOR – Operasi selaman di kawasan yang dikenal pasti berdasarkan petunjuk Unit K9 menjadi tumpuan pencarian mangsa terakhir tragedi kepala air Sungai Luit berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, di sini, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima itu bermula pukul 8.30 pagi dengan kekuatan 43 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk 26 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 17 anggota agensi sokongan.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kawasan pencarian dibahagikan kepada dua sektor utama iaitu Sektor C dan Sektor D bagi memastikan operasi dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh.
Menurutnya, operasi pencarian bermula pukul 8.50 pagi dengan penglibatan Unit K9 menerusi kaedah sniff searching di Sektor C bagi mengenal pasti lokasi berpotensi untuk tindakan lanjut.








