PORT DICKSON: Seorang peserta Himpunan 125ZR Members 2.0 di sini, maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dekat Kilometer 5.7 Jalan Pantai di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Ahmad Afiq Mohd Adnan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 4.30 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Perodua Axia dipandu seorang wanita tempatan berusia 29 tahun dari arah Batu 4, Jalan Pantai menghala ke Taman Intan Duyung, di sini.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dipercayai gagal dikawal lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.