Serdang: Sentuhan dua bekas pemain sepak takraw kebangsaan menjadi antara nadi penting yang menyuntik kekuatan kepada New Impact sehingga berjaya melakar keputusan positif dalam saingan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Memiliki reputasi tinggi dalam arena sepak takraw negara, kehadiran dua individu berpengalaman itu memberi kelainan kepada penampilan pasukan New Impact pada saingan kali ini, khususnya dalam usaha membimbing dan membentuk pemain muda yang menjadi taruhan pasukan.

Lebih menarik, gabungan pengalaman serta kepakaran dimiliki bekas pemain kebangsaan itu bukan sekadar membantu dari sudut teknikal, malah menjadi sumber motivasi buat pemain untuk berdepan tekanan dalam suasana pertandingan sebenar.