Melaka: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung siasatan ucapannya yang dikaitkan dengan sentimen perkauman ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Perkara berkenaan dinyatakan Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman yang mengesahkan kes terbaharu ini adalah siasatan kali ketiga membabitkan Ahli Parlimen Marang itu sejak September lalu.
Mohd Syahir berkata, polis sudah menghubungi Abdul Hadi pada hari pengundian PRN Melaka, semalam, bagi mendapatkan keterangan berhubung isu yang dibangkitkan menerusi laporan sebuah portal, Jumaat lalu.
"Polis Melaka sudah menghubungi Presiden PAS dan beliau menyatakan kesediaan dan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan polis sebagaimana siasatan terdahulu.









