LISBON: Puluhan ribu penduduk berhimpun di lebih 30 bandar dan pekan di seluruh Portugal bagi membantah kenaikan mendadak harga sewa rumah, sambil mendesak kerajaan mengambil tindakan segera menangani krisis perumahan yang semakin meruncing.
Demonstrasi pada Sabtu itu dianjurkan oleh platform Casa Para Viver dengan slogan ‘Mereka tidak akan merampas hak kami untuk memiliki rumah’. Perhimpunan berlangsung di Lisbon, Porto, Faro, Portimao, Coimbra, Braga dan beberapa lokasi lain.
Peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan remaja hingga pesara, berarak sambil membawa sepanduk besar.
Penunjuk perasaan menuntut kerajaan menetapkan had kenaikan kadar sewa, memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap penyewa daripada pengusiran serta menyediakan lebih banyak rumah mampu milik. Mereka turut mendesak kerajaan menarik balik cadangan pindaan undang-undang berkaitan penyewaan rumah.








