WASHINGTON: Utusan khas Amerika Syarikat (AS), Jared Kushner memaklumkan pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Russia, Ukraine dan Eropah bagi menggerakkan rundingan damai ke peringkat seterusnya, termasuk memudah cara penglibatan terus antara benua Eropah dengan Moscow.
Kushner memberitahu pemberita, kedua-dua belah pihak menyedari kerjasama amat diperlukan bagi menamatkan peperangan sambil menambah beliau bersama seorang lagi utusan, Steve Witkoff sedang merangka langkah susulan.
Kenyataan menantu kepada Presiden AS, Donald Trump itu hadir selepas rundingan damai di Abu Dhabi pada Selasa lalu gagal mencapai kata sepakat untuk menamatkan konflik, namun berjaya menghasilkan persetujuan pertukaran tahanan.









