Serdang: Mengejar impian bergelar atlet negara bukan alasan untuk mengetepikan pelajaran, sebaliknya kedua-duanya perlu bergerak seiringan sebagai bekalan penting dalam membina masa depan lebih terjamin.

Itu pesanan pemain sepak takraw negara, Khairul Hafifi Tajudin kepada bakat baharu dan ubi muda yang menyertai Klinik Sepak Takraw sempena Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut pemain berusia 25 tahun itu, kejayaan seseorang atlet tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian di gelanggang semata-mata kerana pendidikan turut memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kehidupan selepas tamat karier sukan.

Katanya, tempoh seseorang atlet berada di kemuncak prestasi juga mempunyai batasan dan mereka perlu membuat persediaan awal dengan memastikan pendidikan tidak terabai ketika masih aktif bersukan.