Serdang: Tubuhnya mungkin lebih besar berbanding pemain lain, namun jangan sesekali memandang rendah kemampuan Mohd Alif Sanusi apabila dia mula memijak gelanggang sepak takraw.
Lebih mesra disapa Bob, pemain berusia 16 tahun itu mencuri perhatian dengan penampilannya sebagai tekong utama pasukan Tun Hussein Onn THO sepanjang saingan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Di sebalik fizikal yang agak berbeza daripada kebanyakan pemain, Alif membuktikan dia juga memiliki keberanian, kemahiran dan kelincahan untuk bersaing, malah kepercayaan diberikan jurulatih untuk menggalas tugas sebagai tekong utama bukan sesuatu yang disia-siakan.








