Kuantan: Bagi mencipta memori dan meraikan kejayaan menamatkan pengajian di universiti, gadis ini mencabar diri serta mengetepikan rasa takut untuk bergambar di puncak Menara Kuantan 188, di sini.
Keberanian Fatin Nabila Kassim, 24, mendapat perhatian selepas tular videonya di atas puncak mercu tanda ikonik dan menara pemerhatian tertinggi di wilayah pantai timur Semenanjung berketinggian 188 meter itu.
Berkongsi kisah itu, Fatin Nabila yang berasal dari Muadzam Shah, Pahang berkata, dia menerima skrol tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pejabat sempena Istiadat Konvokesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor, semalam.
Bagaimanapun Fatin Nabila yang menuntut di kampus UiTM Jengka, Pahang mengambil gambar pra konvokesyen di puncak Menara Kuantan 188 beberapa hari sebelum itu bagi mencari kelainan walaupun takut berada di aras tinggi.








