PUTRAJAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) dibuat berdasarkan keadaan inflasi yang terkawal serta pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kekal kukuh.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keadaan itu membolehkan kadar OPR dikekalkan pada tahap sedia ada, sekali gus memberi ruang kepada sektor perniagaan untuk terus berkembang dengan keadaan pembiayaan yang stabil.

“Bank Negara, dengan proses di bawah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) melihat keadaan inflasi dalam negara terkawal dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga masih kuat.

“Jadi, ia (BNM) mengambil pendekatan untuk terus mengekalkan OPR. Ini memberi ruang untuk perniagaan terus berkembang,” katanya ketika ditemui selepas acara Larian Kewangan 2026, di sini, hari ini.