SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) dicadangkan melantik seorang pengerusi di setiap negeri bagi memperkukuh penyelarasan strategi politik serta hubungan antara parti komponen gabungan itu.Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pelantikan pengerusi PN negeri penting bagi memastikan gerak kerja politik dapat dilaksanakan secara tersusun dan berterusan, bukan hanya menjelang pilihan raya."Saya berpendapat sudah tiba masanya seorang pengerusi PN dilantik di setiap negeri."Pengerusi PN negeri perlu diberikan mandat dan tanggungjawab yang jelas untuk penyelarasan strategi, memperkukuh hubungan antara parti, merancang gerak kerja politik serta mempertahankan kerajaan negeri yang ditadbir PN," katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Pejuang 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam di sini pada Ahad.Hadir sama, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau dan Presiden MIPP, S P Punithan.Mukhriz berpandangan, mereka dilantik juga perlu merangka strategi untuk mengambil alih pentadbiran negeri-negeri yang dikuasai pihak lawan.Menurut beliau, PN tidak boleh hanya bersatu ketika pilihan raya, sebaliknya semua parti komponen perlu bekerjasama sebagai satu pasukan sebelum, semasa dan selepas proses demokrasi itu.Jelasnya, setiap parti anggota juga perlu diberikan ruang dan peluang yang adil untuk menyumbang dalam pentadbiran berdasarkan keupayaan serta pengalaman masing-masing.Beliau turut berpandangan PN perlu membina gabungan yang benar-benar berfungsi, bukannya sekadar bersatu atas nama dan logo tanpa kesatuan matlamat serta tanggungjawab bersama.Dalam pada itu, beliau menegaskan persediaan menghadapi pilihan raya perlu dilakukan secara menyeluruh di semua kawasan Parlimen yang disasarkan bagi memastikan gabungan itu memperoleh majoriti selesa.Katanya, kestabilan politik penting supaya kerajaan yang dibentuk berupaya melaksanakan dasar secara konsisten.Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, semua parti anggota PN perlu diberikan ruang sewajarnya dalam membuat persediaan pilihan raya dengan mengambil kira kekuatan, keupayaan dan sumbangan masing-masing.Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan yang bakal dibentuk berkemungkinan merupakan kerajaan campuran, justeru hakikat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk perlu dihormati.