Ayer Keroh: Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang membuahkan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini, perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk seluruh rakyat, bukan sekadar penyatuan parti politik Melayu.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kemenangan BN-PN di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara tidak rasmi memperlihatkan aspirasi perpaduan Melayu yang sekian lama diperjuangkan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, semakin menjadi kenyataan.

Menurutnya, perkembangan itu dapat dilihat menerusi kerjasama politik yang bermula di Johor, disusuli Negeri Sembilan dan kini Melaka.