SEPANG: Malaysia perlu memberikan perhatian lebih besar terhadap pembangunan bakat perlumbaan motosikal di peringkat akar umbi dengan mengambil iktibar daripada kejayaan Sepanyol membangunkan ekosistem sukan permotoran yang mampu melahirkan ramai pelumba bertaraf dunia.

Ketua Komunikasi Sukan Permotoran Piaggio Group, Antonio Boselli, berkata kejayaan Sepanyol melahirkan pelumba berkaliber dalam Kejuaraan Dunia MotoGP bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil pelaburan berterusan, kemudahan latihan serta pembangunan pertandingan pada pelbagai peringkat usia.

Beliau berkata, antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan negara Eropah itu ialah kewujudan banyak litar yang mudah diakses, kos penggunaan kemudahan yang berpatutan serta sokongan kerajaan dan persekutuan sukan permotoran terhadap pembangunan pelumba muda.