LOS ANGELES: Kemunculan nama Ryan Reynolds dan Hugh Jackman dalam senarai 10 penulis filem Avengers: Doomsday mencetuskan spekulasi bahawa watak popular Deadpool dan Wolverine berkemungkinan kembali dalam filem terbaharu francais adiwira Marvel itu.

Perkembangan itu dikesan peminat Marvel yang meneliti direktori Writers Guild of America (WGA), sekali gus menemukan kredit penulisan kedua-dua pelakon berkenaan bagi filem yang dinanti-nantikan itu.

Reynolds sebelum ini pernah terbabit dalam penulisan skrip Deadpool 2 dan Deadpool & Wolverine, manakala kredit berkenaan menjadi pengalaman pertama Jackman dalam bidang penulisan filem.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada kedua-duanya akan muncul dalam filem itu atau sejauh mana penglibatan mereka dalam penulisan bahan berkenaan.