Kuala Lumpur: Seorang lelaki tempatan disyaki menjalankan aktiviti 'ulat parkir' di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Maluri, di sini, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daus berkata, suspek berusia 50-an ditahan petang semalam, selepas pihaknya menerima laporan berkaitan perkara itu.

"Disahkan tangkapan ada dilaksanakan berkaitan perkara ini kira-kira 2 petang semalam," katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan aktiviti haram itu dipercayai masih berlaku di lokasi berkenaan. Difahamkan polis serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta beberapa pihak lain juga membuat pemantauan di kawasan terbabit, semalam.