KUALA LUMPUR: Jaringan Fahim Akmal Zulkarnain pada penghujung perlawanan ketika menentang Singapura di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi memberi makna yang amat besar buat skuad bawah 16 (B-16) tahun negara.

Ledakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Skudai, Johor itu pada minit ke-89 bukan sahaja memberi kemenangan 2-1 kepada Malaysia, malah turut menyelamatkan skuad negara daripada tersingkir awal dalam perebutan tiket ke Piala Asia B-17 2027.

Ketua jurulatih skuad negara, Shukor Adan jelas lega dengan kemenangan itu walaupun mengakui masalah ketumpulan jentera serangan masih membelenggu pasukannya berdasarkan banyak peluang yang gagal disudahkan dengan jaringan.

Beliau bagaimanapun mengingatkan barisan pemainnya tidak boleh terus dibuai dengan kemenangan pertama dalam Kumpulan E itu, sebaliknya perlu fokus untuk menghadapi aksi seterusnya berdepan Guam.