KUBANG PASU: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan cadangan Universiti Utara Malaysia (UUM) membina Muzium Kedah Tua sebagai usaha memelihara khazanah sejarah dan mengangkat kegemilangan tamadun awal negeri ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, khazanah sejarah Kedah itu bukan sahaja mencerminkan identiti dan kegemilangan negeri malah menjadi sumber ilmu yang dapat membimbing serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Sehubungan itu, beta perkenan untuk Universiti Utara Malaysia membina Muzium Kedah Tua. Muzium ini boleh menggambarkan tamadun Kedah Tua, kepada generasi muda.
“Ini termasuklah hal perkaitan pemerintahan, topografi, sinopsis Kedah Tua dan Tamadun Sungai Batu. Muzium ini juga akan menempatkan artifak pedang, bijih besi, relau besi dan koleksi mata wang,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-39 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.








