JOHOR BAHRU: Meskipun kekurangan dari segi fizikal, graduan orang kurang upaya (OKU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa menjadikan kata-kata arwah ibu sebagai pembakar semangat sehingga berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Dr Mohd Suharizal Mahamad Subri, 49, menamatkan pengajian bagi PhD Pengurusan Fasiliti berkata, ibunya selalu berpesan sentiasa mengingatkannya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Mengalami kekurangan fizikal selepas kaki kanannya terpaksa dipotong pada usia 12 tahun, Jurutera Mekanikal Kanan selama 12 tahun di Cawangan Aset Bersepadu di Jabatan Kerja Raya (JKR) itu bagaimanapun berkata, ibunya yang meninggal dunia pada 2011 tidak sempat melihatnya menerima Ijazah Sarjana dan juga PhD.