KANGAR: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dilantik semula sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi tempoh lima tahun, bermula 13 Disember 2026 hingga 12 Disember 2031.

Majlis Pelantikan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor bersempena Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen 21 UniMAP yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra semalam.

Pelantikan semula ini mencerminkan kesinambungan peranan dan komitmen Tuanku Lailatul Shahreen Akashah dalam menyokong kepimpinan serta kecemerlangan UniMAP, khususnya dalam memperkukuh pembangunan akademik, penyelidikan dan reputasi universiti.