Johor Bahru: Berkat memegang kata-kata arwah ibunya, seorang graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) cekal untuk terus mengecap kejayaan ke peringkat yang lebih tinggi.
Dr Mohd Suharizal Mahamad Subri, 49, yang berjaya menggenggam PhD Pengurusan Fasiliti berkata, kekurangan fizikal selepas kaki kanannya terpaksa dipotong pada usia 12 tahun, membuatkan arwah ibunya, Che Yoh Hashim, sentiasa mengingatkannya untuk belajar bersungguh-sungguh.
Jurutera Mekanikal Kanan, Cawangan Aset Bersepadu di Jabatan Kerja Raya (JKR) itu yang sudah berkhidmat selama 21 tahun di jabatan itu berkata, biarpun begitu, ibunya yang meninggal dunia pada 2011, tidak sempat melihatnya menerima Ijazah Sarjana dan juga PhD.









