Bukit Mertajam: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memastikan platform e-dagang luar negara mematuhi undang-undang Malaysia bagi mewujudkan persaingan yang adil kepada usahawan tempatan.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata kementerian melaksanakan strategi 3E iaitu Enforcement (penguatkuasaan), Empowerment (pemerkasaan) dan Enactment of policies and legislation (penggubalan dasar serta perundangan) bagi menangani persaingan daripada platform asing.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil segera terhadap mana-mana platform luar negara yang gagal mematuhi undang-undang negara.
"Kita mahu wujudkan 'level playing field' (persaingan yang adil). Apa yang dikenakan kepada usahawan Malaysia, platform e-dagang asing juga perlu mematuhinya.










