Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Wee Yee Hern-Vannee Gobi, membuktikan kemampuan mereka apabila meraih gelaran pertama Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bersama selepas menjuarai Masters Kaohsiung berstatus Super 100 di Taiwan, hari ini.
Pasangan ranking ke-83 dunia itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan wakil Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun, 24-22, 21-17 pada aksi final di Arena Kaohsiung.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Yee Hern-Vannee yang membuat penampilan pertama di pentas final Jelajah Dunia sebagai gandingan, malah berdepan cabaran pasangan yang turut dibarisi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, Na Eun.
Bagaimanapun, status lawan tidak menghalang pasangan negara itu daripada mempamerkan ketenangan, khususnya ketika mengharungi set pertama yang sengit sebelum mengesahkan kemenangan dalam dua set.








