New Delhi: Hanya melebihi had laju sebanyak satu kilometer sejam (km/j), seorang lelaki dikenakan saman 2,000 rupee India (kira-kira RM90) ketika memandu di Lebuh Raya Yamuna Expressway.
Namun, apa yang lebih mengejutkan apabila rekod kamera pengesan kelajuan menunjukkan lokasi kesalahan di tengah Lautan Atlantik.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan dalam talian apabila lelaki berkenaan mempersoalkan kewajaran tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang hanya membabitkan lebihan kelajuan minimum.
Lelaki dikenali sebagai Anujeet Shivam berkongsi pengalamannya menerusi akaun X @anujitshivam dengan memaklumkan dia dikenakan saman selepas memandu pada kelajuan 101km/j sedangkan had ditetapkan ialah 100km/j seperti yang dilaporkan NDTV.








