Bukit Mertajam: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meminta platform e-dagang di negara ini mengambil inisiatif mengurangkan kadar yuran perkhidmatan dan komisen yang dikenakan kepada usahawan kecil bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos operasi.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata, kebanyakan usahawan kecil menjual produk buatan sendiri dengan memperoleh margin keuntungan yang rendah yang mana sebarang kenaikan caj yang dikenakan platform e-dagang hanya akan menambah beban mereka.
Katanya, platform e-dagang tidak seharusnya menunggu sehingga kerajaan memperkenalkan peraturan atau undang-undang baharu, sebaliknya boleh mengambil langkah proaktif dengan menawarkan kadar komisen lebih berpatutan kepada peniaga kecil.








