BUKIT MERTAJAM: Platform e-dagang di negara ini diseru mengurangkan kadar yuran perkhidmatan dan komisen dikenakan kepada usahawan kecil bagi membantu mereka menangani peningkatan kos operasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong, berkata langkah itu penting memandangkan kebanyakan usahawan kecil menjual produk sendiri dengan margin keuntungan rendah, sekali gus menyebabkan sebarang kenaikan caj platform e-dagang menambah beban perniagaan mereka.

Katanya, kementeriannya menerima banyak aduan daripada usahawan dalam talian berhubung kenaikan caj dikenakan platform e-dagang.

Beliau berkata, platform e-dagang tidak seharusnya menunggu sehingga kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu untuk mengambil tindakan, sebaliknya perlu proaktif menawarkan kadar komisen lebih berpatutan kepada peniaga kecil.