PETALING JAYA: Pelari jarak jauh negara, M. Sanjay, menjadikan penyertaan dalam Garmin Run Marathon Series 2026 di Putrajaya baru-baru ini sebagai medan menguji kemampuan tahap kecergasan sebelum menghadapi Mumbai Marathon Januari tahun depan.

Sanjay, 24, berjaya menamatkan saingan di tempat kedua bagi kategori terbuka dengan catatan masa 1 jam 13 minit 49 saat, di belakang pelari Kenya, David Kibet yang meraih tempat pertama dengan masa 1:13:19.

Menurut Sanjay, beliau tidak meletakkan sasaran untuk memecahkan sebarang rekod atau mengejar catatan masa tertentu dalam perlumbaan berkenaan, sebaliknya mahu memberikan prestasi terbaik mengikut kemampuan sendiri.

“Saya hanya mahu berlari mengikut rentak sendiri, memberikan prestasi terbaik dan melihat catatan masa yang mampu saya capai,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.