HANOI: Enam anggota tentera Vietnam maut apabila kenderaan tempur infantri dinaiki mereka tenggelam ketika menjalani latihan ketenteraan di wilayah Bac Ninh, utara negara ini, menurut Kementerian Pertahanan Negara, semalam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kemalangan itu berlaku sekitar jam 8.25 pagi Khamis lalu di Lapang Sasar Kebangsaan TB1 di Komun Bien Son.
Menurut kementerian itu, kenderaan berperisai BMP-1 buatan Soviet milik Rejimen Ke-102, Divisyen Ke-308, Kor Tentera Ke-12, mengalami masalah ketika menjalani latihan kesiapsiagaan tempur sebelum ia tenggelam dan mengorbankan kesemua enam kru di dalamnya.
Tiada maklumat lanjut diperoleh mengenai punca kemalangan itu, setakat berita ini ditulis.






